
SERDANG: Program Jualan Agro MADANI menawarkan barangan keperluan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan pengguna.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suraya Mohd Yusof berkata, program di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu membekalkan produk terus daripada petani kepada pengguna bagi mengurangkan penglibatan orang tengah.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pengguna mendapatkan barangan pada harga lebih berpatutan, selain memberi pulangan lebih baik kepada petani.
“Apabila kami kata produk ini dibawa daripada petani terus kepada pengguna, di situ kami telah mengurangkan lapisan orang tengah. Secara automatik petani mendapat margin yang lebih tinggi dan pengguna pula mendapat harga yang berpatutan.
“Untuk produk yang kami tawarkan, kami memang menawarkan penjimatan 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran setempat,” katanya ketika ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, hari ini.
Suraya berkata, Jualan Agro MADANI menawarkan pelbagai barangan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, telur, ayam, daging, barangan asas, produk proses serta beberapa keperluan harian lain.
Program itu turut dilaksanakan di lokasi yang mudah dicapai pengguna termasuk kawasan perumahan, Program Perumahan Rakyat (PPR), kompleks kerajaan serta premis runcit FAMA seperti Agro Bazar Kedai Rakyat dan Agro Bazar Rakyat.
Bersempena MAHA 2026, FAMA mengetengahkan Jualan Agro MADANI menerusi segmen Kingdom of Agrofood dengan melon dan jambu batu antara produk utama, selain telur, bawang, rebung serta beberapa komoditi lain.
Sebanyak 5,000 Kombo MADANI turut disediakan kepada pengunjung dengan setiap kombo bernilai RM20 ditawarkan pada harga RM10, manakala harga serendah RM5 ditawarkan pada waktu tertentu menerusi sesi Happy Hour.
FAMA menyasarkan nilai jualan RM100,000 menerusi pelaksanaan Jualan Agro MADANI sepanjang MAHA 2026.
Jualan Agro MADANI dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 16 April 2023 sebagai penjenamaan semula program Jualan Terus Dari Ladang yang sebelum ini dilaksanakan FAMA. — AlHijrah Online