Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

‘SEDAP’ MAKAN TENGAH HARI DI TEMPAT TERBUKA, 17 LELAKI MUSLIM DICEKUP JAINJ

DALAM NEGARA

‘SEDAP’ MAKAN TENGAH HARI DI TEMPAT TERBUKA, 17 LELAKI MUSLIM DICEKUP JAINJ

Kesemua mereka ditahan di sebuah kawasan perindustrian berhampiran lapangan terbang di Kulai, pada Rabu lepas sekitar jam 1:30 tengah hari.

KULAI: Seramai 17 lelaki beragama Islam ditangkap pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas didapati makan dan minum di khalayak ramai dalam bulan Ramadan.

Menerusi kenyataan JAINJ, kesemua mereka ditahan di sebuah kawasan perindustrian berhampiran lapangan terbang di Kulai, pada Rabu lepas sekitar jam 1:30 tengah hari.

Kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 33 tahun didapati sedang makan dan minum secara terbuka di tepi jalan yang menjadi laluan orang ramai.

“Kesemuanya adalah lelaki warga tempatan dan tiada warga asing. Mereka membeli makanan dan minuman secara bungkus dari sebuah kereta buka but di tepi jalan tidak jauh dengan tempat mereka ditangkap.

“Makanan yang dibeli terdiri daripada nasi putih bersama pelbagai jenis lauk seperti ayam, ikan, sambal, kuah kari dan ulam timun, manakala minuman pula air sirap, oren serta teh O ais yang diikat dalam plastik,” katanya.

Ujarnya, kesemua individu ditahan memberi alasan keletihan bekerja dan dahaga, namun perbuatan tersebut tidak menghormati bulan Ramadan.

“Ketika operasi dijalankan, mereka sedang makan sebelum dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa.

“Beberapa individu dilaporkan sempat melarikan diri dan meninggalkan makanan masing-masing sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa,” tambahnya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan merupakan tangkapan paling ramai direkodkan JAINJ di satu lokasi sepanjang tahun ini.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading