
KUALA LUMPUR: Penetapan had umur 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial dilihat sebagai langkah awal melindungi kanak-kanak daripada risiko jenayah dalam talian, khususnya eksploitasi seksual dan aktiviti grooming.
Timbalan Pengarah Urusan Pembangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Eneng Faridah Iskandar berkata, usia 16 tahun dipilih sebagai titik permulaan untuk menangguhkan penggunaan media sosial sehingga kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang lebih sesuai.
“Kerajaan telah menetapkan 16 tahun sebagai satu mungkin titik permulaan untuk kita mengehadkan atau menangguhkan penggunaan sosial media kepada peringkat umur yang dirasakan lebih matang,” katanya semasa program Analisis dengan topik Media Sosial: Had Umur 16 Tahun, Lindung atau Sekat?
Menurutnya, kebimbangan utama adalah pendedahan kanak-kanak kepada elemen jenayah, termasuk pedofilia dalam talian. Operasi berkaitan yang dijalankan bersama pihak polis merekodkan rampasan lebih 1.47 juta fail digital serta lebih 117 tangkapan.
Aiman Amri, seorang psikolog klinikal, pula berkata usia 16 tahun merupakan fasa pembentukan identiti yang boleh dipengaruhi kandungan media sosial melalui algoritma.
“Apabila masuk sosial media, algoritma yang menghidangkan sesuatu yang memang ikut apa yang kita tengok, maka dia menguatkan lagi benda tu,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan media sosial secara berlebihan turut berpotensi menjejaskan rutin harian apabila masa tidur, aktiviti luar dan interaksi sosial digantikan dengan penggunaan skrin.
Pada masa sama, had umur itu tidak bermaksud kanak-kanak dinafikan akses kepada internet atau platform pendidikan sebaliknya mengehadkan pembukaan akaun media sosial bagi mengurangkan risiko mereka dihubungi individu tidak dikenali.
Kedua-dua panel berpandangan kawalan kerajaan perlu disokong peranan ibu bapa kerana sekatan semata-mata berisiko mendorong kanak-kanak mencari jalan lain untuk mengakses media sosial.
Aiman berkata ibu bapa perlu menunjukkan contoh penggunaan peranti yang baik serta menetapkan batasan yang jelas di rumah.
“Main telefon boleh tapi waktu makan semua orang simpan phone. Mahu buka, Mahu main game boleh, tapi setiap hari Jumaat pukul 8 malam sampai 10 malam sahaja,” katanya.
Justeru, usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko media sosial memerlukan gabungan kawalan umur, pendidikan digital dan penglibatan aktif ibu bapa agar penggunaan teknologi dapat berlaku secara lebih selamat dan terkawal. — AlHijrah Onli