
BANGI: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak dikendali oleh mana-mana ahli politik buat masa ini bagi memastikan institusi itu ditadbir secara profesional dan bebas daripada gangguan politik.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, TH tidak sepatutnya dijadikan gelanggang politik kerana institusi itu mempunyai mandat khusus untuk memberi manfaat kepada jemaah haji.
“Saya tidak benarkan seorang ahli politik dalam lembaga saya,
“Saya sangat beruntung kerana saya bekerja dengan dua kerajaan yang sangat baik, kerajaan saya sebelum ini dan kerajaan ini yang memahami saya bukan seorang politik di sini,” katanya pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, hari ini.
Beliau berkata, pengurusan secara profesional dapat meningkatkan penerimaan masyarakat Islam terhadap institusi itu.
“Saya tidak mahu politik dengan TH. Saya rasa TH harus dilayan sebagai institusi kewangan Islam yang mempunyai tujuan untuk memanfaatkan haji,” katanya.
Abdul Rashid berkata, ketika ini barisan Lembaga Pengarah TH terdiri daripada individu profesional dengan tahap integriti dan reputasi yang tinggi.
TH turut mengambil kira prinsip ‘fit and proper’ dalam pelantikan ahli lembaga , di samping memastikan keseimbangan kemahiran dan pengalaman bagi meneruskan agenda transformasi TH.
Tambah beliau, TH kini sudah berada di landasan yang tepat dengan kekuatan pasukan yang berdisiplin dan berintegriti tinggi. — AlHijrah Online