Connect with us

ALHIJRAH NEWS

ALIFF DANIEL DIARAH BERTAUBAT NASUHA, JALANI PEMULIHAN AKIDAH TIGA BULAN

DALAM NEGARA

ALIFF DANIEL DIARAH BERTAUBAT NASUHA, JALANI PEMULIHAN AKIDAH TIGA BULAN

Aliff Daniel diperintah menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan selepas mengaku bersalah melakukan pemujaan salah selain dinasihatkan mahkamah supaya bertaubat nasuha dan kembali ke jalan yang benar.

RAWANG: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang hari ini memerintahkan Aliff Daniel Adli, 21, menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam selepas mengaku bersalah melakukan pemujaan salah.

Hakim Syarie Mohd Faizal Habib turut menasihati tertuduh supaya bertaubat nasuha dan kembali ke jalan yang benar kerana perbuatan berkenaan merupakan kesalahan berat melibatkan akidah dan tauhid.

“Hukuman mahkamah ini bukan sekadar hukuman kerana melibatkan akidah kamu, tetapi sejauh mana hukuman itu memberi kesan dan pengajaran kepada kamu. Adakah mencukupi untuk mahkamah memerintahkan RM3,000 sebagai bentuk pengajaran dalam kes yang melibatkan akidah dan adakah mencukupi untuk mahkamah menghantar kamu ke penjara dua tahun sebagai satu bentuk pengajaran? Tidak pasti.

“Mahkamah tidak pasti sejauh mana itu boleh membantu kamu dalam menjadikan kamu manusia yang lebih baik. Namun, mahkamah melihat cadangan (pihak pendakwaan) yang dikemukakan di bawah Seksyen 54 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang mahkamah boleh pertimbangkan sebagai bentuk pengajaran.

“Mahkamah menasihatkan kamu bertaubat kerana ini satu kesalahan berat, membabitkan perbuatan syirik. Taubat yang sebenar-benarnya yang disebut sebagai Taubat Nasuha, yang mana hak kamu dengan Allah sahaja. Taubat itu antara kamu dengan Allah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Aliff Daniel didakwa melakukan pemujaan salah dengan menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan serta berlutut sambil merapatkan kedua-dua tangan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves antara jam 9 malam hingga 11 malam pada 24 Januari 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Faizal dalam penghakimannya turut mengingatkan tertuduh supaya tidak mensia-siakan usia mudanya dengan perkara yang merugikan sebaliknya melakukan perkara lebih bermanfaat untuk masa depan diri dan keluarga.

“Kesalahan yang kamu lakukan ini, bukan sekadar kesalahan lazim yang dilakukan dalam kesalahan jenayah, kerana ini melibatkan akidah dan tauhid kamu sebagai seorang Islam, kamu dilahirkan Islam sejak kecil dan bukan seorang mualaf yang baharu mengenali Islam.

“Betul, mungkin kamu cuba meneroka perkara-perkara lain di usia kamu 18 tahun ketika itu, tetapi kamu perlu sedar dan faham batasan-batasannya. Pada usia kamu yang masih muda ini, banyak lagi perkara yang kamu perlu lihat daripada perkara tidak sewajarnya dalam konteks kamu sebagai seorang beragama Islam,” tambahnya.

Terdahulu, Pendakwa Syarie di Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, Zamniazura Mohd Sarin memohon mahkamah menggunakan kuasa budi bicara di bawah Seksyen 54(1) enakmen sama bagi menggantikan hukuman penjara dan denda dengan perintah pemulihan.

“Seksyen ini membolehkan individu yang disabitkan bersalah kepada perintah pemulihan atau kaunseling di pusat pemulihan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya.

Sementara itu, Aliff Daniel yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan sedang menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan serta mendakwa telah insaf.

“Kenapa (gambar-gambar) itu tidak dimuat naik pada 2024 dan kenapa sekarang? Saya sudah tidak buat lagi perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan syirik. Saya sudah berubah dan bertaubat. Oleh itu, saya mohon dibenarkan menjalani bimbingan kelas (agama),” katanya dalam nada sebak.

Sejurus prosiding selesai, Aliff Daniel dibawa pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman untuk memulakan perintah pemulihan berkuat kuasa hari ini. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top