
KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut dipercayai terjatuh sebelum digilis sebuah kereta di Jalan Sungai Buloh-Kepong, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan skitar jam 7:30 malam itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Viva.
Katanya, kereta dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu dalam perjalanan dari arah Kepong menghala ke Damansara.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan sebelum terjatuh di laluan kereta berkenaan.
“Pemandu Perodua Viva itu tidak sempat mengelak lalu melanggar penunggang motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sivam A/L Muniandy di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.—AlHijrah Online