
IPOH: Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan terapung di kawasan Tasik Raban berhampiran Pengkalan Ikan, Kuak dekat Lenggong, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat lelaki berusia 67 tahun itu pada 5.17 petang.
“Mayat ditemukan berhampiran tebing tasik dan siasatan di lokasi kejadian turut menjumpai motosikal jenis Honda Wave berwarna merah putih, dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata identiti lelaki itu disahkan melalui proses pengecaman oleh isterinya semalam dan hasil bedah siasat yang dijalankan di Bahagian Forensik Hospital Taiping mengecahkan punca kematiannya akibat lemas.
“Kematian warga emas itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah namun siasatan lanjut sedang diteruskan. Beberapa spesimen diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh bagi ujian toksikologi manakala orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu,” katanya. — AlHijrah Online.