Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BAHANA DADAH: TIGA KALI DIPENJARA, IZA MASIH CARI ‘JALAN PULANG’

DALAM NEGARA

BAHANA DADAH: TIGA KALI DIPENJARA, IZA MASIH CARI ‘JALAN PULANG’

Tekanan kewangan, kemiskinan dan masalah keluarga menjadi antara faktor yang mendorongnya kembali kepada ketagihan dadah meskipun pernah berdepan hukuman penjara pada 2020, 2023 dan 2024.

BACHOK:  Tiga kali dipenjara atas kesalahan berkaitan dadah masih belum cukup untuk ‘menginsafkan’ Iza, 33.

Dia kembali terjerat dengan ‘najis’ itu sebelum ditahan sekali lagi pada April lalu.

Bagi Iza, perjalanan meninggalkan dunia dadah bukan sesuatu yang mudah. Tekanan kewangan, kemiskinan dan masalah keluarga menjadi antara faktor yang mendorongnya kembali kepada ketagihan, meskipun pernah berdepan hukuman penjara pada 2020, 2023 dan 2024.

Namun, penahanan terbaharu dan penempatannya di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok mula membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Iza yang mula mengambil syabu ketika berusia 19 tahun nekad meninggalkan kehidupan lampaunya dan mahu membina masa depan yang lebih baik demi anak-anaknya yang sedang membesar.

Lebih menyentuh hati, Iza kini sedang hamil tujuh bulan, manakala dua anaknya yang berusia lapan bulan dan dua tahun berada di bawah jagaan ibunya.

Tidak mahu wanita lain melalui nasib sama sepertinya, dia mengaku bahawa zaman silamnya amat gelap apabila melahirkan dua anak tidak sah taraf, sama seperti bayi yang dikandungnya ketika ini.

“Saya belajar agama, bab-bab agama yang saya tak tahu saya dah tahu, kata buat macam ni, berzina ni salah . Saya belajar solat , dapat buat kebaikan lah di sini”.

Mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, Iza berkata, pengalaman mengikuti program pemulihan di PUSPEN memberinya peluang mendalami ilmu agama, memperbaiki diri dan memahami kesan perbuatannya terhadap kehidupan serta keluarganya.

Baginya, perubahan itu bukan sekadar menjauhi dadah, tetapi turut melibatkan usaha membina semula kehidupan dan memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Iza berharap diberi peluang membuktikan kesungguhannya untuk berubah selepas menamatkan program pemulihan, selain berhasrat mendapatkan pekerjaan yang halal bagi menyara anak-anaknya.

Kisah Iza mencerminkan betapa ketagihan bukan sekadar isu kebergantungan terhadap dadah, sebaliknya boleh berkait rapat dengan tekanan hidup, masalah keluarga dan kesukaran untuk keluar daripada kitaran lama.

Dalam keadaan itu, peluang mendapatkan rawatan dan sokongan yang berterusan menjadi antara langkah penting bagi membantu individu yang terjebak dalam ketagihan membina semula kehidupan mereka.

PUSPEN Bachok kini menempatkan lebih 100 klien wanita yang mengikuti program rawatan dan pemulihan daripada ketagihan dadah.– AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading