
JOHOR BAHRU: Seorang bekas pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, empat tahun lalu.
Tertuduh, Chan Wen Jie, 32 tahun didakwa memaksa kanak-kanak itu memakan najisnya sendiri daripada lampin pakai buang.
Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Abdul Fareed menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertamadun, menjatuhkan maruah dan tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik.
Mahkamah turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh menghentak kepala mangsa, melakukan ketuk ketampi, memaksa kanak-kanak itu berdiri dalam tempoh lama serta merotan.
Mahkamah menegaskan perbuatan itu melampaui hukuman fizikal biasa dan merupakan penderaan keterlaluan terhadap kanak-kanak yang tidak berdaya melindungi diri sendiri.
Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh melakukan pelbagai perbuatan penderaan terhadap mangsa, termasuk memaksa kanak-kanak itu memakan najisnya sendiri daripada lampin pakai buang.
Tertuduh juga disifatkan mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang mengamanahkannya menjaga kanak-kanak berkenaan.
Mahkamah dalam masa sama menolak hujah pembelaan bahawa perbuatan itu merupakan kaedah mendidik, seperti yang dilakukan tertuduh terhadap anaknya sendiri.
Hukuman penjara itu berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditahan, iaitu pada 3 Oktober 2022.
Chan Wen Jie turut diperintahkan menjalani kerja komuniti selama 36 jam serta bon berkelakuan baik selama tiga tahun.
Pada 13 Oktober 2022, tertuduh didakwa membunuh Lee See Jie, tiga tahun, di sebuah rumah di Taman Skudai Ria, Skudai, antara jam 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.–AlhijrahOnline