
GERIK: Polis menahan dua remaja lelaki berusia 13 dan 14 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian khianat memecahkan cermin lapan kenderaan di beberapa kawasan perumahan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima lapan laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.38 petang melibatkan kawasan Taman Sri Temenggor, Taman Meha dan Taman Gerik.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan lapan kenderaan pelbagai jenis mengalami kerosakan dengan anggaran kerugian kira-kira RM10,000.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan batu dan bata untuk memecahkan cermin kenderaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, hasil tindakan pantas polis, kedua-dua suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
“Soal siasat awal mendapati mereka mengaku terlibat bersama dua lagi rakan yang masih bebas.
“Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk motosikal, topi keledar dan pakaian yang dipakai semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.
Abdul Samad turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan masa depan.
Beliau berkata, orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat kepada polis dengan segera bagi membantu siasatan serta mencegah kejadian jenayah daripada terus berlaku.—AlHijrah Online