RAWANG: Seorang pemandu lori syarikat roti Gardenia tersepit selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena, di Kilometer 441 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan berhubung kemalangan sekitar jam 8:52 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan sebuah lori lima tan.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun tersepit di bahagian pemandu lori lima tan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki.–AlHijrah Online