KUANTAN: Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM 18 Jalan Lipis-Benta hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata kemalangan pada 6 pagi itu mengakibatkan pemandu kereta Mohd Khair Zainudin, 55, dan penumpang yang juga isterinya Norzaili Khalil, 49, meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lipis menuju Raub manakala, kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 54 dan 40 tahun dari Raub ke Gua Musang untuk mengambil durian.
“Ketika ditempat kejadian kereta dinaiki pasangan suami isteri itu dipercayai bertembung dengan pacuan empat roda dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.21 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya membantu mengeluarkan wanita yang tersepit dalam kenderaan itu manakala dua lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda telah dibawa ke hospital sebelum ketibaan bomba.
Mohd Salahuddin berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. –BERNAMA