
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangannya supaya hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan pada Ahad hanyalah pandangan peribadi dan bukan campur tangan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, SPR merupakan sebuah badan bebas yang berhak menentukan tarikh pilihan raya mengikut pertimbangannya sendiri, meskipun beliau berpandangan pengundian pada Ahad lebih memudahkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Umpamanya yang bekerja di Singapura itu ramai dan hari Sabtu itu ramai yang bekerja setengah hari. Jadi sebaiknya (mengundi) hari Ahad. Tetapi SPR badan bebas, dia nak buat hari Sabtu, itu keputusan dia.
“… Teguran saya dari segi itu bukan maknanya campur tangan (dalam urusan SPR). Kalau saya campur, lain keadaannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan berhubung laporan media mengenai kenyataannya semasa kempen PRN Johor berkaitan penetapan hari pengundian pada Sabtu dan bukannya Ahad. — AlHijrah Online.