
GOMBAK: Kerajaan meluluskan cadangan tambang perkhidmatan penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan kadar perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu bermula serendah RM125 sehala.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pertengahan November 2026, manakala operasi komersial bagi laluan Gombak–Kota Bharu disasarkan bermula pertengahan Disember tahun ini.
Bagi perjalanan sejauh 523 kilometer itu, tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Transit bermula RM125 sehala, manakala perkhidmatan Ekspres ditawarkan pada kadar permulaan RM147.
Sementara itu, tambang dari Gombak ke Kuala Terengganu bermula RM95 bagi Transit dan RM110 bagi Ekspres, manakala perjalanan ke KotaSAS masing-masing bermula RM60 dan RM68.
Kadar tambang permulaan yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.
Menurut MRL, kadar tambang berkenaan dilaksanakan menerusi mekanisme tambang dinamik yang membolehkan harga tiket berubah berdasarkan waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
“Melalui mekanisme ini, harga tiket boleh berubah mengikut faktor seperti waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang perjalanan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kerajaan turut meluluskan diskaun tambang sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan.
Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun sebanyak 40 peratus.– AlHijrah Online