
Sumber: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menghentikan rancangan realiti agama secara menyeluruh selepas timbul kebimbangan berhubung penglibatan segelintir bekas peserta rancangan realiti agama dalam aktiviti yang menjejaskan imej Islam.
Walaubagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata, Kerajaan akan memperketat pematuhan garis panduan, pengukuhan mekanisme pemantauan kandungan, penglibatan penasihat atau panel Syariah serta kerjasama dengan pihak penyiaran bagi memastikan pelaksanaan program lebih berdisiplin, berhemah dan bertanggungjawab.
“Kerajaan membezakan secara jelas antara salah laku individu dengan objektif asal program. Sebarang pelanggaran undang-undang adalah tanggungjawab peribadi dan tertakluk kepada proses perundangan sedia ada.
“Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) 2014 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menekankan bahawa program berunsur agama hendaklah berteraskan akidah, syariah dan akhlak, termasuk kandungan, persembahan serta keperibadian individu terlibat,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.
Tambah beliau, Perkara 10(1)(a) garis panduan itu secara jelas menetapkan bahawa individu terlibat hendaklah mengekalkan peribadi mulia walaupun di luar persembahan.
Sementara itu katanya kerajaan turut menekankan kepentingan kefahaman agama dan literasi media agar masyarakat tidak mengangkat mana-mana individu sebagai simbol mutlak agama, sebaliknya menilai ajaran berdasarkan sumber sahih dan autoriti yang diiktiraf.
Beliau dalam pada itu memuji usaha yang telah dilaksanakan TV AlHijrah dalam usaha memastikan setiap kandungan yang diterbitkan adalah selari dengan ajaran Islam sebenar.
“TV AlHijrah melaksanakan tapisan kandungan yang ketat, menubuhkan Panel Syariah serta menempatkan Pegawai Kader JAKIM sebagai penasihat Syariah.
“Penceramah yang diundang juga dipastikan memiliki tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Untuk rekod, TV AlHijrah telah menerbitkan beberapa program realiti berunsur keagamaan seperti Akademi Qurra, Solehah dan Pentas Marbahan,” katanya.
Oleh itu Marhamah berkata kerajaan komited memastikan penyiaran berunsur agama dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan mematuhi prinsip Syariah serta undang-undang, dengan penekanan kepada akauntabiliti, pemantauan yang berkesan dan kepentingan awam. — AlHijrah Online