
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengetahui nasibnya hari ini apabila Mahkamah Persekutuan dijangka memutuskan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya daripada empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadual menyampaikan keputusan pada 9 pagi.
Rayuan itu didengar selama dua hari dan hujahan kedua-dua pihak selesai pada 12 Disember 2025.
Ketika prosiding rayuan akhir pendakwaan pada 12 Disember 2025, dalam situasi yang jarang berlaku, Hakim Abu Bakar memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan selepas hujahan selesai.
Beliau yang mengetuai panel tiga hakim itu berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, pada 17 Disember 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan menerusi surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bahawa Peguam Negara mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.
Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari ARMADA, melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, Syed Saddiq berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai terbabit. — AlHijrah Onlin