
KLANG: Seorang guru taska didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia tujuh tahun, Ogos lalu.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Lenah Abdul, 43 tahun, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak autisme dengan memukul menggunakan penyangkut baju 28 Ogos lalu, di sebuah pusat pendidikan untuk kanak-kanak istimewa atau berkeperluan khas di Taman Sentosa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan rekod kes, bapa mangsa mendapati kesan lebam pada paha kiri, perut, lengan dan pipi anaknya yang dipercayai akibat dipukul dan dicubit sebelum memaklumkan perkara itu kepada isterinya.
Peguam Adam Rosli yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai lima anak yang masih bersekolah, termasuk seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme, selain hanya berpendapatan RM1,700 sebulan.
Katanya, tertuduh gagal mengawal emosi apabila mangsa dikatakan kerap membuang air besar dalam lampin dan mengotorkan dinding menggunakan najis, selain terdapat tujuh kanak-kanak yang aktif pada hari kejadian sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tertuduh merupakan guru dan penjaga yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak autisme di pusat berkenaan.
Sementara itu, bapa mangsa, Muhamad Fridaus Roslan, 42 tahun, mempersoal hukuman berkenaan yang disifatkannya terlalu ringan berbanding kecederaan dialami anaknya.
“Di mana keadilan untuk anak saya?,
“Pesalah hanya didenda RM800. Sudah tentu boleh bayar. Lagipun denda itu sama harganya dengan yuran bulanan yang saya bayar untuk anak kedua saya,” katanya.
Muhamad Fridaus berkata pihaknya kesal kerana pertuduhan hanya dikenakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan, sedangkan doktor yang merawat anaknya mengesahkan kesan kecederaan pada kedua-dua paha dan lengan adalah kesan penderaan.
Menurutnya, tindakan lebih tegas patut diambil termasuk pertuduhan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman lebih berat iaitu hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Kami juga mahu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan terhadap premis pusat asuhan itu supaya tiada kanak-kanak lain mengalami nasib sama,” katanya.
Muhamad Fridaus berkata pihaknya akan melantik peguam bagi menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak dan menilai semula kes berkenaan. — AlHijrah Online