
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan lantikan 33 buah syarikat yang telah dilesenkan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1448H/2027M.
TH mengingatkan bakal Haji 1448H/2027M supaya hanya berurusan dengan PJH yang sah dan dilesenkan oleh TH.
“Tawaran pakej haji oleh pihak yang tidak berlesen merupakan satu kesalahan di bawah Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Layari http://www.tabunghaji.gov.my/bm/pengelola untuk maklumat lanjut mengenai PJH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, TH menyerahkan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 33 buah syarikat bagi musim haji 1448H/2027M.
PJH yang terpilih telah melalui proses penilaian yang teliti dan menyeluruh sebelum diberikan lesen , katanya.
“Penilaian tersebut mengambil kira pelbagai aspek termasuk kedudukan kewangan, rekod prestasi, pengalaman serta keupayaan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.
“TH turut melaksanakan semakan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” tambahnya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata lesen yang diberikan bukan sekadar kelulusan untuk menawarkan pakej haji, sebaliknya merupakan satu amanah besar dalam mengurus perjalanan suci para tetamu Allah SWT.
“Setiap PJH perlu memastikan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan. Setiap janji yang diberikan kepada bakal jemaah hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, integriti dan profesionalisme.
“Semua PJH diseru utnuk memberikan maklumat yang jelas, tepat dan telus kepada bakal jemaah, khususnya berkaitan penginapan, pengangkutan, makanan serta kemudahan lain, bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat yang lengkap,” ujarnya.
Zulkifli turut menekankan kepentingan penyediaan pakej haji yang lebih berpatutan dan kompetitif, termasuk pakej haji ekonomi, bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Bagaimanapun, usaha menawarkan pakej pada harga yang berpatutan tidak boleh mengorbankan aspek kualiti, keselamatan dan kebajikan jemaah selain semua pakej yang ditawarkan hendaklah jelas, telus dan memenuhi standard yang ditetapkan.
“Semua pihak diingatkan mengenai keperluan untuk bersama-sama membanteras aktiviti penipuan pakej haji dan umrah yang boleh menyebabkan bakal jemaah mengalami kerugian.
“Usaha tersebut memerlukan kerjasama erat antara agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), TH, MOTAC dan JAWHAR selain peranan PJH yang sah dan berlesen dalam menjaga nama baik industri pengelolaan haji negara,” katanya.—AlHijrah Onlne