
PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menggesa semua pihak supaya tidak menjadikan istilah Islamofobia sebagai naratif pertembungan politik sehingga setiap perbezaan pendirian disifatkan sebagai serangan terhadap agama.
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin berkata pihaknya memandang serius kecenderungan segelintir pihak yang melabel kerajaan sebagai menyebarkan propaganda Islamofobia hanya kerana wujud perbezaan pendirian politik.
“YADIM berpandangan bahawa perbezaan pendapat dalam politik demokrasi tidak boleh disamakan dengan Islamofobia. Kritikan terhadap dasar kerajaan, persaingan antara parti politik atau perbezaan ideologi tidak sewajarnya dilabel sebagai kebencian terhadap Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan Islamofobia merujuk kepada ketakutan, kebencian, prejudis atau diskriminasi yang tidak berasas terhadap Islam dan umat Islam sehingga membawa kepada penafian hak, layanan tidak adil serta penyebaran stereotaip negatif terhadap agama itu.
Sehubungan itu, semua pihak perlulah lebih bertanggungjawab dalam menggunakan istilah berkenaan agar tidak mengelirukan masyarakat atau menghakis makna sebenar Islamofobia.
Zamri berkata ukuran paling tepat untuk menilai sama ada sesebuah kerajaan bersifat Islamofobia ialah melalui dasar dan tindakan yang dilaksanakan.
Institusi Islam di negara ini terus diperkasakan menerusi pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), termasuk pembangunan ummah, pendidikan Islam, pemerkasaan masjid, institusi zakat, dakwah dan penyelidikan Islam.
Pada masa sama, kerajaan turut mengambil pendekatan menyantuni seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama melalui pelbagai inisiatif kebajikan, bantuan kos sara hidup, bantuan bencana, pendidikan, kesihatan serta program MADANI Membantu yang dilaksanakan secara inklusif tanpa membezakan latar belakang penerima.
Menggelar kerajaan yang diterajui gabungan pelbagai kaum sebagai anti-Islam semata-mata kerana turut disertai parti bukan Melayu merupakan tafsiran yang sempit terhadap realiti politik dan pentadbiran negara.
“Malaysia MADANI bukan membina masyarakat yang takut kepada Islam, sebaliknya sebuah negara yang lebih memahami Islam,” tegasnya.