KULAI: Seorang lelaki maut dalam nahas enam kenderaan termasuk lima buah lori di Kilometer 31.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Kulai, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi tadi melibatkan mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas treler dipandunya terbakar hampir 80 peratus.
Komander Operasi dari Balai Bomba Kulai, Khairil Mohd Adzami berkata, kenderaan terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori kontena, treler membawa muatan besi pagar, pacuan empat roda Toyota Hilux, van Nissan Vanette, lori 10 tan membawa muatan mozek serta sebuah lori bonded satu tan.
“Kebakaran menyebabkan Toyota Hilux dan am Nissan Vanette terbakar hampir 90 peratus, manakala lori 10 tan terbakar 60 peratus.
“Empat mangsa lelaki berusia antara 29 hingga 34 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Khairul berkata, dua mangsa dari lori kontena dan lori bonded tidak dapat diperolehi kerana tiada di lokasi semasa ketibaan pihak bomba.
Jelasnya, mayat mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
“Pasukan bomba dengan kekuatan 10 anggota menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada pam jentera dengan sumber air dari pili bomba berhampiran.
“Operasi menyelamat selesai jam 1 petang tadi,” tambahnya.–AlHijrah Online