Menurut laporan Anadolu Ajansi, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa meningkat kira-kira 3.5 peratus kepada hampir US$79 setong pada Ahad, sekali gus mencatat kenaikan sekitar sembilan peratus berbanding paras sebelum konflik.
Pada masa sama, firma data maritim Kpler melaporkan trafik kapal melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara apabila hanya 22 kapal melalui laluan itu pada Khamis berbanding lebih 130 kapal sehari sebelum konflik tercetus.
Ketegangan memuncak selepas AS menyerang kira-kira 140 sasaran di Iran susulan serangan Tehran ke atas sebuah kapal kontena di Selat Hormuz.
Iran pula memaklumkan pihaknya bertindak balas dengan menyasarkan kedudukan AS di rantau berkenaan.
Ketua Penyelidikan Asia Barat Kpler, Amena Bakr berkata serangan terbaharu itu telah menghakis keyakinan pengendali kapal dagang.
“Keyakinan itu terhakis dengan amat pantas. Kita kembali ke titik permulaan dalam situasi ini,” katanya seperti dipetik The New York Times.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporan yang dikeluarkan pada Jumaat memaklumkan peningkatan semula eksport minyak dari rantau Teluk susulan gencatan senjata awal antara AS dan Iran yang dimeterai bulan lalu membantu menambah bekalan minyak global.
Bagaimanapun, agensi itu memberi amaran pemulihan yang lebih menyeluruh masih bergantung kepada usaha meredakan ketegangan baharu itu dengan segera.
Bakr berkata pasaran tenaga kini semakin terbiasa dengan ketegangan yang berulang di rantau berkenaan.
“Pasaran telah menyesuaikan diri dengan keadaan normal baharu ini,” katanya.
Beliau berkata pergerakan harga ketika ini tidak benar-benar mencerminkan keadaan sebenar atau tahap risiko geopolitik. — AlHijrah Online.