
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Delegasi Cuba meninggalkan dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) sebagai tanda protes ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan negara itu sebagai “negara gagal” dalam ucapannya pada Selasa.
Menurut laporan, rakaman video menunjukkan beberapa perwakilan Cuba bangkit dan meninggalkan tempat duduk ketika Trump menyentuh mengenai negara berkenaan pada sesi ke-81 UNGA.
Trump berkata, pentadbirannya “berusaha untuk perubahan asas bagi keadaan di Cuba”, selain menuduh negara pulau itu mempunyai “hubungan dengan kumpulan subversif dan radikal”.
Beliau turut memaklumkan bahawa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sedang mengendalikan rundingan dengan Cuba.
Tindakan delegasi Cuba itu berlaku ketika hubungan kedua-dua negara terus tegang susulan peningkatan tekanan dan sekatan oleh AS sejak akhir Januari lalu.
Hubungan dua hala antara Washington dan Havana juga telah berdepan ketegangan sejak beberapa dekad.
Susulan tindakan ketenteraan AS terhadap Venezuela dan Iran pada awal tahun ini, Trump turut mengancam bahawa “Cuba adalah negara seterusnya”.
Pentadbirannya juga menguatkuasakan sekatan minyak serta mempergiat sekatan sedia ada bagi “mencekik” talian hayat ekonomi negara berkenaan. — AlHijrah Online