
KUALA LUMPUR: Pendirian tegas Malaysia mengambil tindakan terhadap warga Israel yang memasuki negara ini adalah berasaskan prinsip menolak Zionisme, dan bukannya bertujuan menyemai kebencian terhadap mana-mana komuniti agama atau etnik.
Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Azizuddin Ahmad, berkata tindakan itu cerminan konsistensi Malaysia yang sejak dahulu menolak Zionisme, penjajahan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
“WADAH memandang serius desakan lapan anggota Kongres Amerika Syarikat agar Washington menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia, termasuk mempertimbangkan penggantungan pembiayaan latihan ketenteraan.
“Desakan berbentuk tekanan sedemikian tidak membantu hubungan dua hala yang dibina atas prinsip saling menghormati, kesaksamaan negara dan penghormatan terhadap kedaulatan masing-masing.
“WADAH menegaskan bahawa pendirian Malaysia bukanlah penolakan terhadap sesuatu kaum atau agama. Perbezaan yang jelas hendaklah dibuat antara penganut agama Yahudi dengan kewarganegaraan Israel dan dasar penjajahan rejim Zionis,” katanya.
Pertubuhan itu turut menyatakan sokongan terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana warga Israel yang didapati memasuki atau menetap di Malaysia, termasuk melalui penggunaan kewarganegaraan atau pasport kedua, sekiranya dakwaan tersebut disahkan melalui siasatan pihak berkuasa.
Pendirian itu selaras dengan dasar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dan tidak mengiktiraf Israel, di samping mempertahankan hak rakyat Palestin daripada penjajahan, pengusiran, kekerasan serta pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan.
Dalam masa yang sama, segala siasatan berkaitan dakwaan kemasukan atau penempatan warga Israel melalui pasport kedua hendaklah dilaksanakan secara profesional, telus dan berpandukan undang-undang.
Jika terdapat pelanggaran syarat imigresen, penyembunyian identiti kewarganegaraan atau ancaman terhadap keselamatan negara, tindakan tegas dan sewajarnya hendaklah diambil tanpa pilih kasih.
“WADAH turut menyeru Kerajaan Amerika Syarikat supaya menilai isu ini secara objektif dan tidak menjadikan hubungan strategik dengan Malaysia sebagai instrumen tekanan politik. Malaysia ialah rakan penting kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran Asia Tenggara.
“Perbezaan pendirian mengenai Palestin dan Israel wajar diurus melalui diplomasi yang matang, bukannya ancaman atau tindakan menghukum,” katanya.
Tambah beliau Malaysia tidak harus berganjak daripada pendirian berprinsip dalam mempertahankan kedaulatan negara, keadilan antarabangsa dan hak rakyat Palestin untuk hidup merdeka serta bermaruah.
WADAH juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar berdiri teguh mempertahankan kebebasan negara menentukan dasar luarnya tanpa campur tangan atau tekanan mana-mana pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan tidak berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan berikutan Malaysia berpendirian jelas tidak mengiktiraf Israel.
Beliau berkata semua agensi keselamatan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan rakyat Israel dikesan memasuki Malaysia susulan isu Network School di Forest City, Johor. — AlHijrah Online