
KUANTAN – Seramai 21 pesakit wanita dan kanak-kanak dipindahkan ke dua hospital susulan kebakaran di Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita Hospital Jengka, malam tadi.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKN Pahang) memaklumkan, 10 pesakit wanita dan tiga pesakit kanak-kanak dipindahkan ke Hospital Jerantut, manakala lapan lagi pesakit kanak-kanak dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh bagi meneruskan rawatan.
Pemindahan itu diselaraskan sebagai langkah memastikan keselamatan pesakit, waris dan petugas, selain memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan.
“JKN Pahang telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan pesakit, waris dan petugas serta kelangsungan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas dan orang ramai dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini,” menurut kenyataan itu.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 7 malam dipercayai bermula di bahagian bumbung Wad Kanak-Kanak, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, manakala kebakaran berjaya dikawal JBPM dan keadaan di lokasi kini terkawal.
“Semasa kejadian, wad tersebut menempatkan seramai 11 orang pesakit kanak-kanak bersama-sama 11 orang waris, serta 10 orang pesakit wanita dewasa,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai memaklumkan sebahagian siling Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita Hospital Jengka terbakar dalam kejadian berkenaan. — AlHijrah Online