
KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentuanya menggunakan pisau, minggu lalu.
Shahrul Shahrizal Che Shaari, 47, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Zulaiha Mat Zin, 44, dengan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Padang Lepai, Ketereh kira-kira jam 8.30 malam pada 5 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu mentuanya, Paridah Ismail, 78, menggunakan sebilah pisau pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Bagi kesalahan itu, Shahrul Shahrizal didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan Siti Arina Razali manakala tertuduh diwakili peguam Zainal Abidin Mustaffa.
Keluarga mangsa pula diwakili peguam pemerhati Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh manakala pihak pembelaan turut memohon perkara sama selain meminta anak guamnya dihantar ke hospital psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak selama sebulan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Mahkamah menetapkan 18 November depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. — AlHijrah Online