Connect with us

ALHIJRAH NEWS

152 NEGARA BANTAH TINDAKAN AS SEKAT VISA WAKIL PALESTIN

DUNIA

152 NEGARA BANTAH TINDAKAN AS SEKAT VISA WAKIL PALESTIN

Sekatan itu menghalang Presiden Palestin Mahmoud Abbas serta beberapa pegawai kanan Palestin daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB di New York secara bersemuka.

Sumber Gambar: CNN

ISTANBUL: Sebanyak 152 negara menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan visa terhadap delegasi Palestin bagi membolehkan mereka menghadiri sesi ke-81 secara bersemuka.

Kementerian Luar Palestin berkata keputusan itu dibuat pada Khamis susulan tindakan Washington melanjutkan sekatan visa terhadap pegawai Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Menurut kementerian itu, sekatan berkenaan jelas melanggar Perjanjian Ibu Pejabat PBB dan menjejaskan hak Palestin untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat badan dunia itu.

Palestin sebelum ini menggesa AS membatalkan sekatan tersebut dan memastikan semua anggota delegasinya yang mendapat akreditasi rasmi dibenarkan memasuki Amerika Syarikat bagi menghadiri persidangan PBB di New York.

“Sebarang sekatan yang menghalang penyertaan penuh delegasi Palestin dalam mesyuarat PBB menjejaskan hak Negara Palestin dan bercanggah dengan kewajipan negara tuan rumah di bawah Perjanjian Ibu Pejabat PBB. Pihak Palestin menuntut supaya kemasukan dijamin bagi semua ahli delegasi yang ditauliahkan secara rasmi,” kata Kementerian Luar Palestin.

Dalam pada itu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dijadual menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung PBB menerusi video pada tarikh dan waktu yang ditetapkan.

Kementerian Luar Palestin turut menghargai negara yang menaja dan menyokong resolusi berkenaan, yang menurutnya mencerminkan penolakan terhadap usaha menghalang penyertaan Palestin dalam Perhimpunan Agung PBB.

Jabatan Negara AS sebelum ini memaklumkan sekatan visa itu dikenakan kerana PLO dan PA gagal memenuhi kewajipan mereka terhadap Washington serta tindakan kepimpinan Palestin yang menurut AS menjejaskan prospek keamanan.

Pihak berkuasa Palestin bagaimanapun menolak alasan berkenaan sebagai “tidak wajar.”

Sekatan itu menghalang Abbas serta beberapa pegawai kanan Palestin daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB di New York secara bersemuka, manakala pengecualian hanya diberikan kepada kakitangan misi pemerhati PLO ke PBB.

Sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB bermula pada 8 Sept, dengan Perbahasan Agung peringkat tinggi dijadualkan bermula pada 22 September. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading