
PUTRAJAYA: Lelaki dipercayai terlibat dalam insiden provokasi pada sambutan Hari Kebangsaan Isnin lalu, disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 30 tahun itu hadir menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada jam 12.15 tengah malam tadi.
“Individu tersebut hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Putrajaya pada jam 12.15 tengah malam tadi,” katanya sambil menambah sebanyak tujuh saksi telah diambil keterangan.
Aidi Sham berkata lelaki tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, setelah ujian air kencing didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Terdahulu suspek telah ditahan reman selama sehari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima lima laporan susulan kejadian provokasi berkenaan yang tular di media sosial.
Tambahnya, tujuh rakaman percakapan saksi juga telah diambil bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. — AlHijrah Online.