KUALA LUMPUR: Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, lori Isuzu ‘Black Maria’ tanpa muatan berkenaan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.
“Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun yang sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata akibat perlanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki warga tempatan yang juga satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix yang dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun.
Beliau berkata tiga pejalan kaki terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya yang masing-masing berumur 25 dan 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Mohd Zamzuri, seorang lagi mangsa, iaitu isteri kepada lelaki berkenaan yang berusia 55 tahun mengalami kecederaan pada kepala, tangan serta kedua-dua belah kaki dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pemandu lori JIM, pemandu Proton Saga dan pemandu Inokom Matrix bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu lori JIM dan pemandu Proton Saga ditahan bagi membantu siasatan manakala ujian pernafasan serta saringan awal air kencing terhadap mereka didapati negatif alkohol serta dadah,” katanya.
Beliau berkata polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.–BERNAMA