Connect with us

ALHIJRAH NEWS

RUU BAHARU AKAN MENGGANTIKAN AUKU YANG DIMANSUHKAN

DALAM NEGARA

RUU BAHARU AKAN MENGGANTIKAN AUKU YANG DIMANSUHKAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu telah disuarakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam bagi membolehkan peruntukan berkaitan tatacara pengurusan universiti dan kawalan terhadap mahasiswa diteliti semula secara menyeluruh.

KLANG: Kerajaan komited untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, dengan rang undang-undang (RUU) baharu yang menggantikannya dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu telah disuarakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam bagi membolehkan peruntukan berkaitan tatacara pengurusan universiti dan kawalan terhadap mahasiswa diteliti semula secara menyeluruh.

 “Semalam, dalam mesyuarat saya katakan batalkan keseluruhannya yang ada berhubung tatacara pengurusan universiti, autonomi universiti, kuasa dekan, kuasa senat, kuasa Board of Studies.

“Jangan ganggu mahasiswa… apakah saya yakin anak-anak mahasiswa tidak akan melakukan kesilapan? Saya percaya… apakah tak boleh dikawal? Jadi, saya masih percaya dan insya-Allah, tahun ini juga kita akan membentangkan rang undang-undang itu dan meluluskannya di Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata pindaan berkenaan perlu memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara dan bergerak tanpa dikawal dengan undang-undang yang berlebihan.

Anwar berkata golongan muda berusia 18 tahun ke atas sewajarnya diberi kepercayaan penuh kerana mereka sudah dianggap dewasa serta matang termasuk diberi ruang untuk belajar daripada kesilapan.

“Tiada undang-undang? Undang-undang itu ada, jadi didiklah dan tegurlah… memang akan berlaku kesilapan (dalam kalangan mereka),” katanya.

Beliau berkata pimpinan universiti termasuk naib canselor, rektor dan dekan perlu memainkan peranan proaktif bagi menangani sebarang masalah yang timbul dalam kalangan mahasiswa.

Semalam, jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata undang-undang baharu yang menggantikan aspek tertentu dalam AUKU 1971 akan memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti.

Menurutnya Perdana Menteri memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri susulan pengumuman beliau mengenai cadangan pemansuhan AUKU pada Ahad lepas. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading