Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SIMPANAN RM15,000 TABUNG HAJI SELARI KONSEP ISTITO’AH

featured

SIMPANAN RM15,000 TABUNG HAJI SELARI KONSEP ISTITO’AH

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan ketetapan simpanan minimum RM15,000 bagi pendaftaran haji selari dengan konsep istitaah dalam Islam serta mengambil kira kos dan kemampuan bakal jemaah.

KUALA LUMPUR: Ketetapan simpanan minimum RM15,000 bagi pendaftaran haji selari dengan konsep kemampuan atau istitaah dalam Islam, selain mengambil kira peningkatan kos menunaikan rukun Islam kelima itu.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, dasar berkenaan tidak bercanggah dengan hukum syarak, sebaliknya berkait rapat dengan kepentingan bakal jemaah dan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Sebenarnya ia tidak menjadi satu kesalahan kerana ia adalah polisi yang berkait rapat dengan maslahah orang yang nak pergi haji dan juga maslahah Tabung Haji itu sendiri.

“Dulu (harga) 1,300 untuk pendaftaran ketika itu haji dalam keadaan yang tidak mahal sebegini. Sekarang ini kosnya sudah lebih 30 ribu. Jadi kita melihat kepada konsep munasabah,” katanya.

Ketetapan baharu itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, khususnya mengenai kedudukan giliran haji bagi pendeposit sedia ada.

Berdasarkan laporan, kira-kira 80 peratus pendaftar haji ketika ini mempunyai simpanan kurang daripada RM15,000.

Bagaimanapun, pendaftar sedia ada kekal dalam senarai giliran dan diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencukupkan jumlah simpanan minimum berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz menjelaskan konsep istitaah turut merangkumi tanggungan dan liabiliti kewangan seseorang, selain kemampuan menanggung kos menunaikan ibadah haji.

“Haji ni konsep dia adalah istito’ah (kemampuan). Ada ulama yang tak mampu pergi haji. Dia tulis buku haji tapi tak mampu pergi haji. Jadi dimaafkan oleh syarak.

“Memang sedih tak boleh pergi haji tetapi ibadah ini bukan sahaja dalam bentuk melakukan, kadang-kala ibadah itu dilakukan dalam bentuk meninggalkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, ketetapan simpanan minimum turut berkait dengan prinsip keadilan dalam penyusunan giliran jemaah berikutan jumlah pendaftar yang jauh melebihi kuota haji ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Sebelum ini, syarat baki minimum RM15,000 mula digunakan pada 2025 bagi penerimaan surat tawaran haji dan dilaporkan berjaya mengurangkan kadar penangguhan daripada purata 50 peratus kepada 18 peratus.

Sehubungan itu, persediaan awal penting bagi memastikan hasrat menunaikan ibadah haji dilaksanakan berdasarkan kemampuan kewangan dan tanggungan seseorang. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in featured

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading