Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PEMANDU LORI DIDAKWA EMPAT PERTUDUHAN BUNUH

DALAM NEGARA

PEMANDU LORI DIDAKWA EMPAT PERTUDUHAN BUNUH

Pemandu lori yang menyebabkan kematian empat individu, termasuk tiga sekeluarga dalam kemalangan di LPT pada 31 Ogos lalu, didakwa atas empat pertuduhan.

Sumber Gambar: BERNAMA

TEMERLOH: Seorang pemandu lori didakwa hari ini atas empat pertuduhan menyebabkan kematian empat individu dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zulkarnain Md Noh, 52 tahun, kerana pertuduhan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Prosiding pendakwaan berlangsung di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini berikutan tertuduh masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar, Zulkarnain didakwa menyebabkan kematian Muhammad Nazatullah Nazmi, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, Muhammad Armaan Nazeef Muhammad Nazatullah dan Seow Beng Wai.

Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira 10.30 malam pada 31 Ogos lalu di Kilometer 110.3 LPT arah timur.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najimi Arif Nasarudin dan Anis Syakilla Zawawi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nuur Fakhizaa menetapkan 12 November ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 1 September, empat individu maut selepas sebuah lori tangki yang membawa muatan simen dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob dilaporkan berkata tiga mangsa yang berada dalam sebuah Proton S70 terdiri daripada pasangan suami isteri, Muhammad Nazatullah dan Nur Atiqah Sofiya, serta anak lelaki mereka.

Mangsa Seow Beng Wai pula merupakan penumpang sebuah Honda CR-V yang dipandu anaknya, Sebastian Seow Jhen, 18 tahun.

Azry berkata Sebastian dan tertuduh kedua-duanya mengalami kecederaan parah serta menerima rawatan di HoSHAS.

Sementara itu, pemandu dan lapan penumpang kenderaan lain termasuk bas ekspres, Toyota Hilux, Toyota Alphard dan lima kereta lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading