Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MALAYSIA TUNAI JANJI HANTAR PULANG 1,476 WARGA MYANMAR

DALAM NEGARA

MALAYSIA TUNAI JANJI HANTAR PULANG 1,476 WARGA MYANMAR

Malaysia melaksanakan fasa pertama penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar menggunakan tiga kapal selepas persetujuan dicapai bagi menerima semula 5,000 warganya secara berperingkat. Program itu dilaksanakan secara sukarela dengan penyelarasan keselamatan dan logistik antara kedua-dua negara.

LUMUT: Malaysia hari ini melaksanakan fasa pertama program penghantaran pulang membabitkan 1,476 tahanan warga Myanmar menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, kumpulan itu terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 60 tahun.

Menurutnya, penghantaran pulang berkenaan melibatkan tahanan dari 14 depot imigresen dengan jumlah tertinggi dari Depot Belantik, Kedah dan Depot Tanah Merah, Kelantan.

“Individu terbabit dikenal pasti oleh Kerajaan Myanmar dan nama mereka dikemukakan kepada Malaysia menerusi nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026.

“Susulan itu, satu penyelarasan telah dilaksanakan melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan dengan mengambil kira keperluan operasi dan logistik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penghantaran Pulang Tahanan Warga Myanmar Fasa Pertama di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.

Makhzan berkata, tiga kapal masing-masing daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan TLDM dijadualkan mengiringi dua kapal perang serta sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar sehingga ke sempadan perairan negara bagi tujuan keselamatan.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia menjadi agensi operasi utama dalam pelaksanaan program itu, termasuk menguruskan pengesahan dan pemadanan individu, dokumentasi, keselamatan serta penyelarasan logistik.

“Program penghantaran pulang ini merupakan antara langkah yang sedang dilaksanakan dalam pengurusan warga asing dan tahanan imigresen secara lebih teratur, selain dilakukan secara sukarela, selamat dan bertanggungjawab berdasarkan prosedur yang dipersetujui bersama Kerajaan Myanmar,” katanya.

Selepas fasa pertama selesai, Jabatan Imigresen akan menilai aspek dokumentasi, keselamatan, logistik serta penyelarasan antara agensi bagi persediaan fasa seterusnya dalam program penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar.

Tarikh dan jumlah bagi fasa berikutnya akan ditentukan berdasarkan keputusan Kerajaan Malaysia, proses pengesahan individu, kesiapsiagaan operasi serta penyelarasan bersama Kerajaan Myanmar.

Terdahulu, kesemua tahanan dibawa ke Stadium Daerah Manjung bagi menjalani proses akhir termasuk pemeriksaan kesihatan, semakan identiti dan dokumentasi bermula jam 4 pagi.

Sebanyak 46 bas digunakan untuk membawa tahanan dari beberapa depot ke Pangkalan TLDM Lumut sebelum mereka dihantar pulang menggunakan kapal UMS Moattama bersama dua kapal pengiring, UMS King Sin Phyu Shin dan kapal hospital UMS Thanlwin.

Seramai 850 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen, TLDM, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar dan KDN terlibat dalam program berkenaan.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 warganya yang ditahan di Malaysia secara berperingkat hasil rundingan antara kedua-dua negara. Kerajaan sebelum ini turut mengesahkan 1,476 daripada kumpulan itu bersetuju untuk pulang secara sukarela pada fasa pertama.

Susulan itu, KDN memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan membuat tapisan terhadap tahanan warga Myanmar sebagai persediaan penghantaran pulang. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading