
Cubaan menyeludup keluar 701 unit telefon bimbit iphone terpakai dengan menggunakan sebuah bot negara jiran berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, JKDM.
Telefon bimbit bernilai RM716,000 itu disembunyikan dalam bot selepas selesai menghantar muatan sayur-sayuran dari Indonesia ke dalam negara.
Pengarah Kastam Negeri, Roslan Yusoff berkata, pihaknya turut menahan 11 anak kapal serta seorang ejen penghantaran.
Beliau berkata, pemeriksaan JKDM kira-kira jam 4.30 pagi, 23 Julai lalu di sebuah jeti di Pelabuhan Klang, Selangor menemukan 701 unit iPhone terpakai pelbagai model.
Kesemua telefon itu disimpan dalam beberapa kotak, dibalut plastik hitam dan disorok di bahagian dalam bot.
Jelas Roslan, berdasarkan dokumen pengikaran yang dikemukakan kepada JKDM, bot tersebut dijadualkan kembali ke negara asal selepas selesai menghantar muatan sayur-sayuran tanpa membawa sebarang dagangan.
“Telefon bimbit tersebut sepatutnya diikrar kepada JKDM di bawah kod tarif 8517.13.000 dan tertakluk kepada cukai pada kadar lima peratus serta permit daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana telefon bimbit ini merupakan barangan terpakai”. Katanya dalam sidang media.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Kesemua 11 anak kapal warga asing berusia antara 34 hingga 61 tahun ditahan, selain seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran.
JKDM sedang menyiasat sama ada ia merupakan cubaan pertama atau sebaliknya.– AlhijrahOnline