Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BUDI95 DIKEMBALIKAN KEPADA 300 LITER SEBULAN BERMULA 1 SEPT

DALAM NEGARA

BUDI95 DIKEMBALIKAN KEPADA 300 LITER SEBULAN BERMULA 1 SEPT

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan berita gembira itu berkata keputusan tersebut akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi.

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan berita gembira itu berkata keputusan tersebut akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi.

“Manakala, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menerima Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan,” kata Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Pada 26 Mac lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengembalian kelayakan asas BUDI95 dan BUDI Diesel akan berkuat kuasa 1 Sept ini, sebagai satu ikhtiar bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

“Ada kebimbangan tentang nasib M40…(ada) mengatakan kita terus memberi penekanan kepada B40. Memang sukar kerana Kerajaan MADANI ini kita harus membela semua,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata subsidi petrol dan diesel merupakan antara bentuk bantuan yang memberi manfaat kepada hampir semua golongan termasuk M40 dan T20, dengan kos yang ditanggung kerajaan mencecah RM40 bilion.

Anwar berkata keputusan mengembalikan kelayakan asas BUDI95 dan BUDI Diesel itu dibuat selepas mengambil kira tekanan kos sara hidup dan tidak menunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2027.

“Tekanan kos sara hidup tak tunggu bulan Oktober, perniagaan perlu berkembang sekarang tak boleh tunggu bulan Oktober,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan mengakui langkah yang dilaksanakan masih belum mencukupi untuk mengurangkan sepenuhnya kesengsaraan rakyat akibat kos sara hidup, justeru langkah berterusan perlu terus diambil.

“Pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat,” kata Anwar.

— BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading