Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MENINGGAL DUNIA KETIKA MENCARI NAFKAH, BEROLEH SYAHID

SOAL JAWAB AGAMA

MENINGGAL DUNIA KETIKA MENCARI NAFKAH, BEROLEH SYAHID

Susulan nahas helikopter doktor udara di Sarawak, pandangan mengenai mereka yang meninggal dunia ketika bertugas dan mencari nafkah kembali diperkatakan, dengan Mufti Wilayah menyatakan mereka mudah-mudahan tergolong sebagai syahid akhirat.

KUALA LUMPUR: Mereka yang meninggal dunia ketika keluar bekerja mencari nafkah mudah-mudahan tergolong dalam kalangan yang memperoleh ganjaran syahid di akhirat.

Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) itu kembali menjadi perhatian susulan nahas helikopter doktor udara di Sarawak, semalam.

Pendakwah bebas, Mohamad Amirul Amin atau lebih dikenali sebagai PU Amin menerusi hantaran di Threads turut menyifatkan mangsa yang meninggal dunia ketika menjalankan misi menyelamatkan nyawa manusia dan mencari nafkah sebagai syahid.

“Meninggal dunia dalam misi menyelamatkan nyawa manusia, dalam masa mencari nafkah dan tengah bekerja boleh dimuktamadkan sebagai mati syahid.

“Rohnya mulia dan dipelihara oleh Allah SWT. Semoga Allah kurniakan syurga tertinggi buat mangsa nahas helikopter ini. Damailah kalian di bawah kasih sayang-Nya,” katanya.

Bagaimanapun, PMWP menjelaskan status syahid seseorang tidak boleh ditentukan secara khusus kerana hakikat sebenar hanya diketahui Allah SWT.

Sebahagian ulama berpandangan mereka yang meninggal dunia ketika keluar mencari nafkah halal untuk keluarga boleh termasuk dalam kategori syahid akhirat sekiranya memenuhi syarat antaranya ikhlas kerana Allah SWT.

“Kami cenderung untuk memilih pandangan yang mengatakan orang yang meninggal dunia ketika keluar mencari nafkah adalah mudah-mudahan tergolong dalam golongan yang mendapat syahid di akhirat,” menurut penjelasan itu.

PMWP turut menjelaskan, keluar bekerja mencari rezeki halal merupakan amal soleh yang dituntut agama serta antara cabang jihad dalam usaha menyara keluarga. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in SOAL JAWAB AGAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading