KUALA LUMPUR: Individu yang masih berdegil memandu kenderaan walaupun lesen mereka digantung atau dibatalkan oleh mahkamah, berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pindaan terhadap Seksyen 32 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu dibuat untuk meningkatkan hukuman sedia ada bagi menggalakkan pematuhan undang-undang dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Beliau berkata pindaan itu meningkatkan hukuman penjara daripada tempoh tidak melebihi satu tahun kepada tidak melebihi tiga tahun, selain denda ditingkatkan kepada tidak kurang daripada RM3,000 atau tidak melebihi RM10,000.
“Hilang kelayakan merujuk kepada keadaan seseorang tidak dibenarkan memandu kerana lesen memandunya digantung, dibatalkan atau beliau dihalang daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu oleh mahkamah,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, Hasbi berkata RUU itu turut memperkenalkan syarat pendaftaran yang lebih ketat bagi kenderaan elektrik (EV) menerusi pindaan Seksyen 10 akta berkenaan, mengambil kira ketiadaan nombor enjin pada kenderaan elektrik, berbanding kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional.
“Bagi kenderaan motor elektrik, pindaan ini memperjelaskan bahawa kenderaan tersebut perlu mempunyai nombor siri kenderaan motor elektrik dan nombor casis yang terang, jelas, dan tidak terusik,” katanya.
Beliau berkata pindaan berkaitan Seksyen 17 pula memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tidak mengeluarkan lesen kenderaan motor sekiranya butiran pengenalan kenderaan seperti nombor casis atau nombor siri EV didapati rosak, tidak jelas, atau dipercayai telah diusik bagi mengelakkan isu penipuan dan kenderaan klon.–BERNAMA