
PORT DICKSON: Rancangan membangunkan pelabuhan kontena pintar dan kawasan perindustrian bersepadu di Linggi dijangka membuka lembaran baharu kepada ekonomi kawasan itu menerusi penciptaan peluang pekerjaan, pertumbuhan perniagaan tempatan serta kemasukan pelaburan berskala besar.
Perancangan berkenaan diketengahkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai antara agenda pembangunan utama yang mahu dibawanya kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16.
Pelabuhan yang dikaitkan dengan rancangan itu ialah Midport Smart AI Container Port di Pasir Panjang, Port Dickson, sebuah terminal kontena pintar yang dirancang menggunakan automasi dan kecerdasan buatan bagi mengendalikan pergerakan kapal, kontena serta aktiviti logistik dengan lebih cekap.
Projek berkenaan akan dibangunkan bersama Port Dickson Free Zone, sebuah kawasan perindustrian dan logistik yang bakal menempatkan aktiviti pergudangan, pembuatan, pengedaran serta perkhidmatan sokongan pelabuhan.
Bagi penduduk Linggi, manfaat paling ketara ialah pembukaan peluang pekerjaan dalam bidang operasi pelabuhan, logistik, pergudangan, kejuruteraan, teknologi, keselamatan, penyelenggaraan dan pembuatan yang dianggarkan berpotensi mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan langsung serta tidak langsung.
Peluang pekerjaan tidak langsung pula dijangka berkembang menerusi sektor pengangkutan, pembekalan makanan, penyelenggaraan, peruncitan, perumahan sewa dan pelbagai perkhidmatan sokongan yang diperlukan oleh pekerja serta syarikat di kawasan berkenaan.
Anak muda Linggi juga tidak perlu lagi berhijrah ke Seremban, Lembah Klang, Melaka atau negeri lain memandangkan peluang pekerjaan tempatan sudah bercambah di tempat sendiri.
Pembangunan tersebut turut berupaya membawa peningkatan infrastruktur di kawasan sekitar seperti jalan raya, saliran, bekalan elektrik, air dan kemudahan telekomunikasi di samping meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup penduduk Linggi.
Di peringkat Negeri Sembilan, kewujudan sebuah pelabuhan kontena sendiri boleh mengurangkan kebergantungan industri negeri terhadap pelabuhan di kawasan lain bagi urusan import dan eksport.
Kilang yang beroperasi di Negeri Sembilan berpotensi menikmati jarak penghantaran lebih pendek, tempoh pengangkutan lebih pantas serta kos logistik yang lebih kompetitif sekali gus menarik lebih banyak syarikat pembuatan, gudang, pusat pengedaran dan pelabur asing untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai pangkalan operasi mereka.
Kemasukan pelaburan baharu turut berpotensi memperluas rantaian industri negeri apabila lebih banyak syarikat sokongan, pembekal dan penyedia perkhidmatan memilih untuk beroperasi berhampiran pelabuhan.
Sekiranya dilaksanakan secara terancang dan inklusif, projek pelabuhan serta kawasan perindustrian itu berpotensi mengubah Linggi menjadi gerbang ekonomi baharu Negeri Sembilan selain menjadikan rakyat Linggi sebagai penerima manfaat utama daripada limpahan ekonominya. — AlHijrah Online