
SEPANG: Sepasang suami dan isteri maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur, dekat Desa Pinggiran Putra petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya kira-kira pukul 5 petang sebelum terbabit kemalangan.
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang dipercayai meninggalkan tempat kejadian selepas insiden tersebut berlaku.
Tambah beliau, nombor pendaftaran dan jenis lori berkenaan masih belum dikenal pasti.
“Penunggang motosikal merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,
“pembonceng motosikal yang maut pula adalah wanita tempatan berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.” katanya
Norhizam berkata, mangsa lelaki yang bekerja sebagai juruteknik dalam sektor kerajaan, manakala mangsa wanita bekerja di sebuah universiti swasta, meninggalkan seorang anak lelaki berumur tujuh tahun.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati penunggang motosikal memiliki lesen memandu yang masih sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.
Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474 atau 03-87774264 bagi mengesan pemandu lori yang terlibat. — AlHijrah Online.