
KINABATANGAN: Seorang lelaki berusia 48 tahun maut selepas tersepit di bawah bahagian hadapan sebuah lori lapan tan dalam kemalangan yang dipercayai berlaku selepas kenderaan itu terbabas sendiri di Kampung Paris 2, awal pagi tadi.
Seorang lagi lelaki berusia 43 tahun yang turut berada di dalam lori berkenaan berjaya keluar dari kenderaan sebelum menerima rawatan daripada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.16 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut JBPM, pasukan bomba menggunakan peralatan khas dengan bantuan sebuah jentera jengkaut bagi mengangkat bahagian hadapan lori sebelum mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan.
Bagaimanapun, pegawai KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. — AlHijrah Online.