Connect with us

ALHIJRAH NEWS

JOHOR PERLUAS SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR KE PENDIDIKAN AGAMA

DALAM NEGARA

JOHOR PERLUAS SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR KE PENDIDIKAN AGAMA

Kerajaan Johor memperluas inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke pendidikan agama, menerusi penubuhan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor (SARBJ) yang pertama tahun ini.

Sumber: BERNAMA

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperluas inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke pendidikan agama, menerusi penubuhan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor (SARBJ) yang pertama tahun ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif itu, merupakan cetusan ilham Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bagi mentransformasikan sistem pendidikan negeri secara menyeluruh.

“Alhamdulillah, dari segi Sekolah Rintis Bangsa Johor, ini cetusan ilham daripada Pemangku Sultan Johor.

“Kita dah buat empat sekolah, dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah. Dan kita akan buat satu untuk sekolah agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor ke-28 dan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri di Stadium Tertutup Arena Larkin, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid serta Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan berhenti setakat itu, malah akan memperluas pendekatan sama ke peringkat pendidikan awal kanak-kanak menerusi penubuhan sebuah tadika rintis.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid mengumumkan kerajaan Johor meluluskan pembinaan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor (SARBJ), yang pertama di Kota Iskandar tahun ini, sekali gus memperluas inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke institusi pendidikan agama di negeri itu.

Empat sekolah itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang, selain dua lagi sekolah di daerah Johor Bahru iaitu SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara.

Inisiatif SRBJ diperkenalkan bagi mentransformasikan sistem pendidikan negeri menerusi pembelajaran digital, penguasaan pelbagai bahasa, pembangunan sahsiah, pemerkasaan guru serta penyediaan kemudahan pendidikan bertaraf tinggi.

Pembinaan SARBJ pula dijangka melengkapkan usaha kerajaan negeri memperluas pendekatan tersebut ke dalam sistem pendidikan agama. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading