Connect with us

ALHIJRAH NEWS

HAJI 1447H CATAT SIFAR KES PENIPUAN PAKEJ HAJI DAN BADAL HAJI

UTAMA

HAJI 1447H CATAT SIFAR KES PENIPUAN PAKEJ HAJI DAN BADAL HAJI

Musim haji baru-baru ini mencatatkan sifar kes penipuan pakej haji dan badal haji, hasil kerjasama bersepadu Tabung Haji, PDRM dan agensi berkaitan, selain menyaksikan penurunan ketara jemaah yang menangguhkan tawaran haji kepada hanya 18 peratus.

SEPANG: Tiada sebarang kes penipuan pakej haji dan badal haji direkodkan sepanjang musim haji 1447H/2026M hasil pemantauan bersepadu yang dilaksanakan pelbagai agensi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai menerusi kerjasama rapat antara Tabung Haji (TH), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan yang melaksanakan pemantauan secara fizikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pengawasan menerusi platform media sosial.

“Buktinya, kejayaannya tahun ini alhamdulillah tidak ada kes-kes penipuan, tidak ada kes-kes termasuk kes penipuan badal haji yang kita terima.

“Hal ini menunjukkan bahawa keberkesanan dan kita bersyukur, ‘zero’ (sifar) kes ‘scammer’ (penipuan) pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ketibaan Jemaah Haji Penerbangan Terakhir dari Tanah Suci bagi Musim Haji 1447H/2026M di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dan Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, TH turut berjaya mengurangkan kadar jemaah yang menangguhkan tawaran menunaikan haji daripada 50 peratus pada tahun lalu kepada 18 peratus pada musim ini.

Menurut beliau, pencapaian itu hasil pelbagai langkah penambahbaikan yang dilaksanakan TH, termasuk pemberitahuan lebih awal kepada bakal jemaah serta usaha berterusan meningkatkan kesedaran dan persediaan mereka.

“Kita telah melancarkan kempen #menujuistitoah pada Februari lepas bagi meningkatkan kesedaran persediaan awal menunaikan haji, malah tawaran haji selesai pada Ramadan 1447H, lebih awal dari musim sebelumnya,” katanya.

Majlis sambutan itu menyaksikan ketibaan 258 jemaah haji di KLIA pada 12.10 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH8385 yang berlepas dari Madinah pada 10.14 malam Selasa (waktu Arab Saudi). — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading