Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MALAYSIA PERBAHARUI KONTRAK MOTOGP™ HINGGA 2031, KUKUHKAN KEDUDUKAN SEBAGAI HAB SUKAN PERMOTORAN DUNIA

DALAM NEGARA

MALAYSIA PERBAHARUI KONTRAK MOTOGP™ HINGGA 2031, KUKUHKAN KEDUDUKAN SEBAGAI HAB SUKAN PERMOTORAN DUNIA

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama sukan permotoran dunia apabila kerajaan meluluskan pembaharuan kontrak penganjuran MotoGP™ Malaysia bagi tempoh lima tahun, bermula 2027 hingga 2031.

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama sukan permotoran dunia apabila kerajaan meluluskan pembaharuan kontrak penganjuran MotoGP™ Malaysia bagi tempoh lima tahun, bermula 2027 hingga 2031.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan yang mendapat kelulusan Jemaah Menteri itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus menjadi hab sukan permotoran bertaraf antarabangsa.

MotoGP™ Malaysia yang mula dianjurkan sejak 1991 dan berpindah ke PETRONAS Sepang International Circuit pada 1999, kini menjadi antara aset sukan negara paling bernilai. Selain meningkatkan imej Malaysia di persada global, penganjurannya turut merangsang pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri serta melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran.

Menurut beliau, pembaharuan kontrak ini dibuat berdasarkan tiga pertimbangan utama. Antaranya, MotoGP™ Malaysia terbukti memberi impak besar kepada ekonomi negara melalui sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS).

Kajian impak ekonomi menunjukkan penganjuran MotoGP™ Malaysia pada 2024 menjana kira-kira RM694 juta kepada ekonomi negara, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta memberikan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda.

Selain itu, penganjuran acara berprestij itu turut memperkukuh pembangunan bakat tempatan menerusi program Malaysian Motorsport Development (MDEV) yang berjaya melahirkan pelumba muda berbakat seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.

Dalam masa sama, Pelan Induk Pembangunan SIC 2035 dijangka mampu menarik pelaburan sehingga RM1 bilion serta mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi, sekali gus memberi manfaat ekonomi berterusan kepada rakyat.

Dr Mohammed Taufiq menegaskan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan akan terus komited memperkukuh ekosistem sukan permotoran negara agar Malaysia kekal sebagai destinasi utama MotoGP™ dunia, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi dan melahirkan lebih ramai jaguh sukan permotoran negara.— AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading