Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SULTAN SELANGOR HARGAI PERANAN PERDANA MENTERI JAYAKAN LRT3

UTAMA

SULTAN SELANGOR HARGAI PERANAN PERDANA MENTERI JAYAKAN LRT3

Sultan Selangor menzahirkan penghargaan kepada Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim atas peranan masing-masing dalam merealisasikan projek LRT3, sambil menegaskan kejayaannya adalah hasil kesinambungan beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat.

 

SHAH ALAM: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam yang disifatkan mampu memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Dalam titah perutusan sempena pembukaan LRT3 pada Rabu, baginda turut memberikan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana merealisasikan cadangan pembinaan laluan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Pertama sekali, Beta ingin memberi penghargaan (credit) kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana mendengar titah Beta agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.”

Baginda turut mengimbau bahawa cadangan itu dikemukakan kepada Najib pada tahun 2015 selepas menerima banyak aduan daripada suri rumah mengenai kesesakan lalu lintas yang menyebabkan suami mereka sering pulang lewat dari tempat kerja.

Projek LRT3 berdepan kelewatan lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018, sebelum tertangguh lagi selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19 sehingga 2021.

Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan projek berkenaan.

“Namun, Alhamdulillah apabila YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau bersetuju untuk meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan dan akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat Beta.

“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan Syabas Beta ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.”

Sultan Sharafuddin berharap pembukaan LRT3 dapat mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain menawarkan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat, terutama penduduk Klang dan Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur.

Baginda turut berharap Prasarana dapat menyelenggara laluan berkenaan dengan baik supaya operasi LRT3 berjalan lancar dan sempurna.

Dalam masa sama, baginda menegaskan kejayaan LRT3 bukan hasil usaha mana-mana pihak secara bersendirian, sebaliknya merupakan kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

1 Comment

1 Comment

  1. Anonymous

    2 July 2026 at 10:33 AM

    Assalamualaikum jazakallah

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading