
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah masih dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tertakluk kepada undang-undang negara.
Menurut JIM, pemegang kad UNHCR hanya dikecualikan daripada pendakwaan di bawah Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
“JIM memahami bahawa isu ini menimbulkan pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Ingin ditegaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan warga asing hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang,” menurut kenyataan itu.
JIM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing kerana ia boleh menimbulkan implikasi terhadap keselamatan, ketenteraman awam dan perundangan.
Sebaliknya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen diminta menyalurkannya kepada JIM atau agensi penguat kuasa berkaitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 113 pelarian Rohingya tiba di ibu negara pada awal pagi Isnin selepas diusir dari penempatan mereka di Pulau Pinang.
Mereka kemudian mendirikan khemah di hadapan pejabat UNHCR sebagai penempatan sementara sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk tujuan dokumentasi dan dipindahkan secara berperingkat ke tiga negeri dengan penyelarasan badan bukan kerajaan serta UNHCR. — AlHijrah Online