Connect with us

ALHIJRAH NEWS

RIYADH AIR MELIHAT PERMINTAAN KUKUH BAGI LALUAN KUALA LUMPUR, SASAR PENERBANGAN HARIAN

DUNIA

RIYADH AIR MELIHAT PERMINTAAN KUKUH BAGI LALUAN KUALA LUMPUR, SASAR PENERBANGAN HARIAN

Riyadh Air mengenal pasti Kuala Lumpur sebagai destinasi pertamanya di Asia Tenggara susulan permintaan perjalanan yang kukuh di antara Malaysia dengan Arab Saudi, kata Ketua Pegawai Komersialnya Vincent Coste.

Sumber: BERNAMA

SEPANG: Riyadh Air mengenal pasti Kuala Lumpur sebagai destinasi pertamanya di Asia Tenggara susulan permintaan perjalanan yang kukuh di antara Malaysia dengan Arab Saudi, kata Ketua Pegawai Komersialnya Vincent Coste.

Katanya, syarikat penerbangan itu mempunyai perancangan untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada daripada tiga kali seminggu kepada penerbangan harian.

Coste memberitahu Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama syarikat penerbangan itu di rantau ini disebabkan oleh permintaan perjalanan yang kukuh dari kedua-dua hala apabila pelancong Arab Saudi melawat Malaysia khusus untuk percutian.

Rakyat Malaysia pula berkunjung ke Arab Saudi atas urusan keagamaan, perniagaan dan pasaran pelancongan yang kian berkembang.

“Kami melihat potensi yang amat besar dari segi pembangunan. Kami bermula dengan tiga penerbangan seminggu, namun hasrat kami untuk laluan ini adalah untuk meningkatkannya kepada penerbangan harian dengan pantas.

“Kami mula mengendalikan penerbangan pertama kami pada Jun, jadi kami sudah pun membuka beberapa destinasi seperti Jeddah, Dubai dan Kaherah. Kami merancang untuk mengendalikan 100 destinasi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut penerbangan sulung Riyadh Air dari Riyadh, Arab Saudi di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Penerbangan sulung Riyadh Air dari Riyadh itu mendarat di KLIA pada 12.03 tengah hari ini dan Coste serta Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman merupakan antara penumpang yang berada di dalam pesawat berkenaan.

Ketibaan mereka disambut oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Osamah Dakhel R. Al-Ahmadi.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani.

Coste menyatakan permintaan bagi penerbangan sambungan ke Jeddah terutamanya untuk perjalanan umrah dijangka meningkat manakala trafik transit yang lebih kukuh ke Eropah, Afrika dan destinasi antarabangsa yang lain melalui Riyadh dijangka bermula tahun depan.

Mengenai persaingan daripada syarikat penerbangan Asia Barat sedia ada, Coste berkata kekuatan Riyadh Air terletak pada keupayaannya untuk memenuhi permintaan terus yang kukuh selain memanfaatkan kedudukan Riyadh sebagai ibu negara bagi negara terbesar dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Riyadh merupakan sebuah ibu negara dengan populasi 8.5 juta penduduk. Jadi, ini merupakan faktor pembeza utama kami berbanding hab besar lain di rantau ini.

“Kami mempunyai trafik terus yang sangat kukuh dan inilah matlamat penubuhan Riyadh Air,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa syarikat penerbangan itu menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa dan melihat peluang untuk membangunkan hubungan dengan Malaysia Airlines pada masa hadapan bagi meningkatkan ketersambungan serantau.

“Malaysia Airlines merupakan sebuah syarikat penerbangan yang hebat dan kami pastinya akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan mereka.

“Seperti yang anda sedia maklum, Arab Saudi juga mempunyai cita-cita pelancongan yang amat besar sebagai sebahagian daripada Visi 2030 Arab Saudi. Ini juga bakal menjadikannya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang hebat buat pasaran Malaysia,” jelas Coste.

Mengenai acara sukan antarabangsa yang besar termasuk Grand Prix Formula Satu (F1) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini, Coste berkata Riyadh Air menjangkakan acara-acara tersebut akan menyumbang secara positif kepada permintaan penumpang.

Ini memandangkan perkhidmatan tanpa henti Kuala Lumpur-Riyadh miliknya menawarkan alternatif yang lebih mudah kepada pengembara berbanding transit melalui hab serantau yang lain.

Sementara itu, Coste memberitahu syarikat penerbangan itu menjangkakan operasi kargo bagi laluan Kuala Lumpur-Riyadh akan merangkumi hasil segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran serta barangan mudah rosak yang lain dengan Kuala Lumpur berfungsi sebagai pusat penyatuan bagi penghantaran dari seluruh Asia Tenggara. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

News Editor / Anchor

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading