Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif memaklumkan kepada Hakim Roslan Mat Nor bahawa kes berkenaan telah diselesaikan dengan persetujuan kedua-dua pihak.
“Kedua-dua pihak ingin merekodkan terma-terma yang dipersetujui. Sehubungan dengan itu, plaintif menarik balik tindakan guaman ini tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Kedua-dua pihak melampirkan satu salinan kenyataan awam yang telah dipersetujui bersama dengan usul persetujuan ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan rakan-rakan bijaksana. Saya mohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan,” kata peguam itu.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Awang Solahuddin turut mengesahkan perkara berkenaan.
Hakim Roslan kemudian membatalkan kes saman itu tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, selain melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada 26 hingga 29 Oktober 2026.
“Mahkamah mengucapkan terima kasih kepada pihak plaintif (Anwar) dan defendan (Awang Solahuddin) atas kesediaan masing-masing untuk menyelesaikan kes ini secara baik dan kesudian plaintif menarik balik kes ini,” kata hakim itu.
Menurut kenyataan awam yang dipersetujui bersama, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian berkenaan secara muktamad selepas mengambil kira implikasi prosiding saman fitnah, termasuk kos litigasi yang perlu ditanggung.
Mereka turut mengambil kira perkara lebih besar dan penting yang wajar diberi keutamaan demi kepentingan rakyat dan negara.
Kenyataan itu memaklumkan Awang Solahuddin dengan rendah diri dan tanpa sebarang keraguan menarik balik segala kenyataan yang dibuatnya pada atau sekitar 21 Februari 2023, yang menjadi asas kepada tindakan guaman berkenaan.
“Kedua-dua pihak juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada hakim serta pegawai mahkamah yang terlibat atas profesionalisme, kebijaksanaan dan kecekapan mereka sepanjang pengendalian prosiding itu.
“Kedua-dua pihak berharap penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak sebagai suatu penyelesaian yang baik dan agar perkara ini tidak lagi dipolemikkan atau dijadikan bahan yang boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, pada 3 Mac 2023, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin berhubung kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Pendang itu di lobi Parlimen ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari tahun sama.
Menurut Anwar, kenyataan yang dirakam dalam bentuk audio dan video serta didedahkan kepada orang ramai itu antaranya membawa maksud beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Beliau mendakwa kenyataan itu menggambarkan dirinya mencampuri urusan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan bagi mencapai agenda politik peribadi, sekali gus menjejaskan reputasinya sebagai pemimpin di Malaysia serta peringkat antarabangsa. — AlHijrah Online