Connect with us

ALHIJRAH NEWS

ABU ANAK KRAKATAU PAKSA ENAM LAPANGAN TERBANG DITUTUP

DUNIA

ABU ANAK KRAKATAU PAKSA ENAM LAPANGAN TERBANG DITUTUP

Enam lapangan terbang di Indonesia ditutup susulan abu letusan Anak Krakatau, manakala tiga lapangan terbang di Jawa ditetapkan sebagai alternatif bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.

JAKARTA: Indonesia menetapkan tiga lapangan terbang di Jawa sebagai alternatif bagi penerbangan domestik dan antarabangsa selepas enam lapangan terbang terpaksa ditutup susulan abu gunung berapi daripada letusan Anak Krakatau.

Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi berkata, lapangan terbang alternatif itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati di Majalengka, Jawa Barat; Lapangan Terbang Antarabangsa Jenderal Ahmad Yani di Semarang, Jawa Tengah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo, Jawa Timur.

“Terdapat beberapa lapangan terbang di Jawa yang kami sediakan sebagai alternatif untuk pendaratan penerbangan dari luar Jawa serta penerbangan antarabangsa,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Ahad.

Penutupan melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Lapangan Terbang Radin Inten II di Lampung, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Lapangan Terbang Pondok Cabe, Lapangan Terbang Budiarto serta Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Bandung, Jawa Barat.

Menurut Dudy, kesemua enam lapangan terbang itu akan kekal ditutup sekurang-kurangnya empat jam lagi selepas ujian terbaharu terus mengesan kehadiran abu gunung berapi.

Dalam keadaan penutupan masih berterusan, Kertajati sudah digunakan sebagai lapangan terbang alternatif dengan dua penerbangan Garuda Indonesia dari Jeddah dan Madinah dialihkan ke lapangan terbang berkenaan.

“Setakat ini, berdasarkan hasil ujian yang dijalankan di Lapangan Terbang Kertajati, lapangan terbang itu masih belum terjejas dan operasi masih boleh dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat penerbangan diminta terus berwaspada berikutan keadaan cuaca yang dinamik serta kemungkinan abu gunung berapi merebak ke arah lapangan terbang berkenaan.

Syarikat penerbangan turut diminta segera memaklumkan penumpang mengenai pembatalan penerbangan serta memudahkan urusan pembatalan dan bayaran balik tiket secara elektronik.

Kementerian Pengangkutan turut menggalakkan orang ramai dan sektor perniagaan mempertimbangkan pengangkutan kereta api, jalan raya dan laut yang setakat ini tidak terjejas akibat letusan berkenaan, termasuk bagi penghantaran barangan yang biasanya diangkut melalui udara.

Sementara itu, perkhidmatan feri merentasi Selat Sunda yang memisahkan Jawa dan Sumatera masih beroperasi seperti biasa tanpa penambahan feri bagi laluan Merak-Bakauheni susulan penurunan jumlah penumpang akibat letusan itu. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading