
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes disyaki khalwat melibatkan seorang figura awam di sekitar daerah Petaling, semalam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tangkapan berkenaan dilakukan kira-kira pukul 6 petang.
Difahamkan, dua figura awam itu merupakan seorang bekas menteri yang juga pemimpin politik berusia 44 tahun serta seorang wanita dipercayai pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kedua-dua individu terbabit kemudiannya dibawa ke Pejabat JAIS di Shah Alam bagi proses dokumentasi.
Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga boleh mengaibkan individu yang terlibat.
“JAIS menasihatkan umat Islam agar tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikannya bahan spekulasi, perdebatan dan fitnah dalam apa juga cara,” tegasnya. — AlHijrah Online