
PEKAN: Seorang jururawat di sebuah klinik kesihatan ibu dan anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan 10 sijil cuti sakit antara Mac hingga April lalu.
Zaleha Ismail, 55, didakwa memalsukan 10 dokumen sijil cuti sakit yang dikatakan dikeluarkan oleh seorang pegawai perubatan di Klinik Komuniti Kuala Pahang antara 1 Mac hingga 27 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Aqilah Lokman memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin mengambil kira keseriusan kesalahan, status tertuduh sebagai penjawat awam serta kepentingan awam.
Peguam Ahmad Deniel Roslan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) pula memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang bersesuaian dengan mengambil kira keadaan kewangan dan tanggungan tertuduh.
Menurutnya, tertuduh bekerja sebagai jururawat dengan pendapatan kira-kira RM3,500 sebulan dan merupakan pencari nafkah tunggal keluarga selepas suaminya mengalami strok serta tidak dapat bekerja.
Tertuduh turut menanggung dua anak yang masih bersekolah.
Majistret Melody Woon Sze Mun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan sekali sebulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 23 November ini bagi sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan penyerahan dokumen. — AlHijrah Online