Connect with us

ALHIJRAH NEWS

GURU DIDAKWA LANGGAR PELAJAR HINGGA MAUT APRIL LALU MENGAKU TIDAK BERSALAH

DALAM NEGARA

GURU DIDAKWA LANGGAR PELAJAR HINGGA MAUT APRIL LALU MENGAKU TIDAK BERSALAH

Seorang guru mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut dan seorang lagi cedera selepas dirempuh kereta dalam kawasan sekolah, April lalu.

KOTA BHARU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan seorang pelajar maut dan seorang lagi cedera dalam kejadian di sebuah sekolah pada April lalu.

Sakinah Ismail, 57, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa melakukan perbuatan cuai yang menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini kira-kira jam 1.40 tengah hari pada 12 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sakinah didakwa melakukan perbuatan cuai dengan melanggar seorang lagi pelajar perempuan Tingkatan Satu menggunakan kereta Honda HR-V sehingga membahayakan nyawa mangsa pada lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala Sakinah diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi.

Muhammad Nadzir memohon jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun Muhammad Hasif memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak pernah terlibat dalam sebarang kesalahan sebelum ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Dalam kejadian 12 April lalu, seorang pelajar maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh kereta yang dipandu guru di hadapan surau SMK Tanjong Mas.

Pemandu wanita itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaan berkenaan terbabas lalu merempuh dua pelajar tersebut. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading